Implementasi dron dalam industri-industri ke arah perlestarian dan kajian saintifik sudah menjadi satu pemangkin kepada lebih banyak lagi pembaharuan dan penemuan pada masa hadapan.

Seperti yang kita telah bincangkan dalam artikel-artikel yang lalu, penggunaan drone dalam skala perindustrian semakin hari semakin mendapat perhatian yang meluas disebabkan keberkesanan yang terbukti. Walaubagaimanapun, terdapat banyak lagi ruang untuk penambahbaikkan dan potensi yang masih tidak lagi diteroka.

Hal ini boleh dilihat dalam situasi pengunaan dron dalam perladangan kelapa sawit. Walaupun drone telah diguna pakai secara meluas, tetapi penambahbaikkan boleh dibuat supaya penghasilan sawit boleh dilaksanakan secara lestari.

Dalam artikel ini, kita akan bercakap tentang bagaimana sebenarnya drone boleh membantu meningkatkan penghasilan dan produktiviti dan pada masa yang sama membantu menyelesaikan masalah persekitaran yang sekarang membelenggu sektor kelapa sawit.

Isu-isu yang membelenggu sektor perladangan kelapa sawit

Sektor minyak kelapa sawit telah sekian lama diperhatikan oleh pelbagai pihak di peringkat negara dan antarabangsa kerana industri ini dianggap sebagai pemusnah alam sekitar. Sebagaimana yang boleh di lihat dalam media, ladang sawit biasanya digambarkan dengan kemusnahan habitat haiwan-haiwan seperti orang utan, tetapi sejauh manakah kebenaran hal ini?

Sebenarnya, industri kelapa sawit telah dipertanggungjawabkan hanya lapan peratus (8%) daripada kadar dan jumlah pembasmian hutan dunia.

Pembasmian hutan (deforestation) secara amnya telah mengakibatkan banyak kesan buruk kepada alam sekitar seperti kehilangan habitat, biodiversiti dan ekosistem dan juga perlepasan karbon dioksida yang tinggi ke dalam atmosfera yang hanya akan merancakkan kadar pemanasan bumi.

Menangkis persepsi tersebut, Dr Emma Keller daripada WFF (Tabung Alam Dunia) berkata bahawa “Minyak kelapa sawit adalah bahan dalam separuh daripada produk yang kita beli di pasar raya – produk-produk seperti syampu dan sabun, pizza, biskut.”

Penggunaan minyak sawit mempunyai permintaan yang sangat tinggi dan adalah mustahil untuk kita mengelakkan pengunaannya sekarang. Anda mungkin akan fikir bahawa masalah ini boleh diselesaikan jika minyak sawit digantikan dengan minyak sayuran dalam pemprosesan produk.

Menukarkan minyak sawit kepada minyak sayuran yang lain hanya akan mengakibatkan keadaan menjadi lebih teruk. Hal ini adalah kerana kelapa sawit menghasilkan isi padu minyak jauh lebih tinggi berbanding minyak sayuran yang lain.

Sebagai contoh, untuk menghasilkan 1 tan metrik minyak, kelapa sawit memerlukan kawasan tanaman yang lebih kecil berbanding tanaman minyak lain seperti soya atau bunga matahari.

Kawasan yang luas untuk menghasilkan isipadu minyak yang sama hanya bermaksud semakin banyak penebangan hutan akan berlaku sekiranya minyak sawit digantikan dengan minyak-minyak sayuran yang lain.

Menurut WWF lagi; “Bukan kelapa sawit yang meletakkan orangutan dalam bahaya, atau tanaman-tanaman yang lain yang mencemarkan alam sekitar. Amalan perladangan yang tidak lestari yang sebenarnya memberi impak buruk kepada alam semulajadi, menghakis ekosistem, memusnahkan habitat haiwan liar, mengeluarkan gas rumah hijau dan mencemarkan sumber-sumber air.

Perladangan Kelapa Sawit Lestari

Kelestarian adalah suatu idea yang kompleks yang mempunyai banyak cabang, termasuk ekonomi (ladang yang lestari sepatutnya adalah suatu perniagaan yang menguntungkan yang menyumbangkan kepada ekonomi yang mampan), sosial (amalan kelestarian sepatutnya di agihkan secara adil kepada pekerja dan pada masa yang sama menyumbang kepada kebaikan komuniti setempat) dan alam sekitar.

Pelestarian alam sekitar dalam pertanian boleh ditafsirkan sebagai penjagaan sistem semulajadi dan sumber-sumber yang mana ladang itu bergantung untuk kekal subur. Antara lain, ini termasuk:

  • Mengekalkan tanah yang sihat
  • Pengurusan sumber air yang baik
  • Mengurangkan pencemaran air dan udara
  • Mempromosikan biodiversiti

Tujuan amalan pertanian lestari adalah untuk memenuhi permintaan makanan masyarakat tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri. Pengamalan pertanian lestari mestilah mengandungi  tiga objektif utama: persekitaran yang sihat, keuntungan dan kesaksamaan sosioekonomi.

Bagaimana dron boleh membantu dalam melestarikan pertanian

Pemantauan

Dron adalah satu alat yang sangat berguna untuk proses memantau tanaman. Oleh sebab itu, pemantauan dalam konteks perladangan kelapa sawit boleh dibuat untuk banyak tujuan seperti pembilangan pokok, kawasan ladang dan sebagainya. Keupaayan drone untuk menangkap gambar yang tepat dan seterusnya menukarkan gambar-gamber tersebut kepada peta yang lengkap dengan topografi, bentuk muka bumi dan lain-lain.

Ini sebenarnya adalah satu kelebihan besar terutamanya dalam proses penamaman semula dan susunan pokok untuk memastikan pulangan besar dan pada yang sama memastikan kebersihan alam sekitar terjaga.

Dengan menggunakan dron juga, petani akan dapat mengenalpasti kawasan-kawasan penting yang mempunyai kemungkinan besar untuk berlakunya pergerakan tanah dan seterusnya mengambil langkah pencegahan sebelum terjadinya bencana seperti tanah runtuh yang boleh mengganggu gugat tanaman dan habitat haiwan.

Kesuburan tanah

Menggunakan dron untuk memeriksa kesuburan tanah tidak pernah kedengaran oleh orang sebelum ini. Tetapi cara ini semakin lama semakin diiktiraf disebabkan oleh ketepatannya. 

Ini boleh dilakukan melalui petunjuk yang biasanya boleh dinampak melalui analisa NDVI daripada dron.

Pencegahan pencemaran

Anda mungkin tahu bahawa sekarang drone telah digunakan secara meluas dalam industri pertanian untuk proses penyemburan racun dan baja. Ini kerana dron boleh melakukan proses menyembur dengan lebih efektif berbanding meracun menggunakan beg galas oleh pekerja ladang.

Amalan pertanian lestari akan sia-sia jika pencemaran alam sekitar berlaku dan dron boleh menolong untuk mengurangkan risiko pencemaran dengan melakukan proses peracunan dan pembajaan dengan tepat.

Lebihan baja akan diserap oleh tanah dan memasuki saliran air bawah tanah dan seterusnya mengakibatkan peledakan populasi alga. Racun pula boleh membahayakan hidup akuatik apabila diserap dan dilepaskan ke dalam sungai.